kaWasAn menCurah luAhan keGilaaN teNtanG kehidupan im

Wednesday, August 3, 2016

Doa untuk kedua ibubapa kami

Doa ni dapat dalam kuliyah tv3.. jom sama-sama hafal dan amalkan bacaan doa ni..


Ampunkanlah wanita yang pernah
kami tumpangi rahimnya
9 bulan 10 hari lamanya.

Wanita itu,
telah melahirkan kami
hingga koyak isinya, Ya Allah.

Luka kulitnya, Ya Allah
Tumpah darahnya, Ya Allah

Bercucuran air matanya,
Menahan sakit dan derita, Ya Allah.

Itulah ibu kami, Ya Allah.

Demi Al-Quran yang kami baca tadi,  
dengan Keberkatannya,
ampunkan ibu itu, Ya Allah

Ampunkan ibu
yang tidak pernah
kenyang makan minumnya
kerana mengenyangkan kami.

Ampunkan ibu
yang tidak pernah lena tidurnya
Kerana menyenyakkan tiduran kami

Ampunkan ibu
yang tidak berkisah langung dengan sihat sakitnya
kerana menjaga kebajikan kami, Ya Allah.

Ampunkan ibu, Ya Allah.
Mulia sungguh dirinya.
Sudi membasuh,
 mencuci najis dan kotoran kami, Ya Allah.

Dan tidak pernah pula
dia mengungkit dan bersunggut, Ya Allah

Ampunkan ibu
yang tangan lembutnya
selalu mengusap rambut dan juga wajah kami.
Hari ini wajahnya nampak urat-urat tua
memamah dirinya, Ya Allah

Ya Allah, ampunkan pula
seorang lelaki yang dibin-bintikan
nama kami dengan namanya
Itulah ayah kami, Ya Allah.

Dialah manusia yang pertama mengajar kami
Ashhadu Alla Illaha Illallah Wa Ashhadu Anna Muhammadar Rasullulah”

Dengannya kami kenal ketegasan didunia ini, Ya Allah
Kami Kenal peraturan dan manhaj hidup ini, Ya Allah
Kami kenal Engkau tuhan kami,
Kami kenal NabiMu UtusanMu, Ya Allah.
Kami kenal akidah yang sebenarnya
mesti dipegang hingga akhir hayat kami

Ya Allah, ampunkan ayah
yang kami tidak selalu memahami dirinya

Ampunkan ayah
Yang air matanya hanya untukMu
Bila rasa resah gelisah
dan hanya dia menceritakan kepadaMu
Dan rahsianya,
hanya Engkau yang tahu

Ya Allah,
Ampunkan ayah
yang bertanya khabar melalui lisan ibu
Yang menghulurkan wang saku
melalui lembutnya tangan ibu
Yang selalu memandang kami,
Ketawa kecil, tersenyum lebar hanya dari jauh
Tetapi apabila didekati,
Wajahnya tegas mendidik kami

Ya Allah, hingga hari ini
Apabila kami menjadi ayah dan ibu
Baru kami mengenali itu ayah sebenarnya, Ya Allah

Ya Allah, andai kata mereka berdua masih ada
Engkau sihatkan mereka
Engkau panjangkan umur mereka
dalam kebajikan dan kewarasan
Engkau tambahkan padanya
ketabahan, keimanan dan ketakwaan

Ya Allah,
Andai kata Engkau ingin
mengambil dia, mereka berdua

Jangan Engkau sakiti mereka, Ya Allah
Jangan sakaratul itu membebani mereka
Lembutkan urusan itu, Ya Allah
Seperti mereka mendodoikan kami, Ya Allah

Ya Allah,
Andai mereka telah pergi bertemu Mu,
Lapangkan kubur mereka
Engkau pindahkan mereka
dari kegelapan liang lahat
ke dalam syurgaMu yang luas tidak terperi

Ya Allah, Engkau kurniakan
nikmat yang abadi untuk mereka






No comments: